Saturday, December 28, 2013

31-12-2013 bukan himpunan guling kerajaan

SHAH ALAM - Perhimpunan yang akan diadakan pada malam 31 Disember ini, bukan bertujuan mengguling kerajaan kata, Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Muhamad Azan Safar.

Beliau berkata, agenda utama mereka adalah memprotes kenaikan mendadak kos sara hidup yang akan dirasai rakyat menjelang tahun 2014.Menurutnya, selain itu perhimpunan ini juga bertujuan bagi mengingatkan kerajaan pada janji mereka dalam manifesto PRU13 yang lalu, serta menentang ketirisan dan penyelewengan dalam urus takbir kerajaan.“Himpunan ini untuk rakyat suarakan protes mereka bukan gulingkan kerajaan.

Kami menjunjung demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang.“Tiada yang mengetuai himpunan ini, mereka yang rasa terkesan boleh sama-sama turun nyatakan bantahan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.Menurut Azan, pihaknya juga difahamkan ada ahli politik yang akan turut menyertai perhimpunan itu bagaimanapun, beliau berharap perhimpunan itu tidak dicemari dengan ceramah politik.“Kami tidak kisah ada penyertaan daripada ahli politik, tetapi kami harap mereka tidak mengambil kesempatan daripada agenda utama kami ini.“Kami sudah tekankan bahawa tiada bendera parti politik dibenarkan dalam perhimpunan itu,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya telah memaklumkan mengenai perhimpunan itu kepada pihak berkuasa, beliau berkata, tiada sebarang permohonan dibuat kerana tiada yang mengetuai perhimpunan ini.“Siapa yang akan buat surat? Kami tiada ketua, perhimpunan ini perhimpunan rakyat, rakyat turun nyatakan rasa tidak puas hati.“Kami harapkan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kerjasama kepada kami,” kata Muhamad Azan.Pihaknya turut mengingatkan, peserta perhimpunan untuk tidak melakukan sebarang provokasi bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Sumber: Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment