Monday, February 3, 2014

Apa kata KJ tentang video Theresa Kok

SHAH ALAM - Jenayah sebenar video 'Onederful Malaysia CNY2014’ ialah ianya langsung tidak kelakar, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, video sindiran yang dikeluarkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sempena Tahun Baharu Cina itu berada di bawah tahap sederhana.

“Setakat video sindiran politik Teresa Kok yang di bawah tahap sederhana. Tak kelakar, tak ada jenaka dan bukan original. Itulah jenayah sebenarnya,” tulisnya di laman mikro Twitter, hari ini.

Video yang didakwa Teresa hanya bersifat sindiran dan gurauan serta tidak menghina sesiapa itu mendapat reaksi yang pelbagai dari beberapa pihak.

Pihak polis sedang menyiasat video yang dimuat naik pada 27 Januari itu dan tindakan akan diambil jika didapati bersalah.

Beberapa NGO sudah membuat laporan polis ke atas Teresa dan menggesa siasatan segera dilakukan kerana dianggap menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas isu sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan melalui Twitternya berkata: “Tak perlu untuk Kok meminta maaf kerana sejujurnya, jika dia suka untuk terus merosakkan semangat Tahun Baharu Cina, teruskan. Silakan,” tulisnya

0 comments:

Post a Comment