Thursday, July 3, 2014

[LATEST] Minta sedekah tentu susah, nak bagi sedekah pun lagi susah





Kolektif Dapur Jalanan Kuala Lumpur, sebuah organisasi yang memberikan makanan percuma kepada golongan tak berumah di sekitar ibu kota setiap hujung minggu, akan tetap meneruskan aktiviti mereka walaupun Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran untuk mengenakan tindakan saman kepada organisasi seperti mereka.

Dapur Jalanan berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan tidak berhak untuk menetapkan jarak tertentu untuk aktiviti amal berkenaan kerana setiap aktiviti yang dijalankan mereka bukan hasil daripada dana kerajaan.

"Kolektif Dapur Jalanan Kuala Lumpur tetap akan berkongsi makanan dengan golongan miskin kota dan warga tak berumah," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Baik kementerian atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kami tidak menggunakan dana dari kementerian mahu pun DBKL maka kami berhak untuk menentukan tempat untuk kami bersedekah."

Kumpulan itu turut memaklumkan aktiviti Dapur Jalanan pada Ramadan akan diadakan pada 10 malam, setiap Sabtu.

"Pada hari Sabtu ini Tengku Adnan boleh melihat sendiri dan menilai tahap kebersihan aktiviti kami serta yang lebih penting, menilai sama ada aktiviti berkongsi makanan dengan golongan miskin kota dan warga tak berumah benar benar menjejaskan imej banda raya Kuala Lumpur."

Hari ini Tengku Adnan memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman DBKL.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tak berumah dan pengemis di ibu negara.

Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada golongan golongan tak berumah menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk terutama daripada aspek kebersihan.

"Mengenai golongan tak berumah ini kita bukan tidak cuba carikan kerja untuk mereka. Bila kita beri mereka kerja mereka tidak mahu kerana adanya NGO yang memudahkan mereka mendapatkan makanan.

"Imej bandar raya terjejas teruk, bukan saja jalan kotor tetapi ada antara mereka penghidap HIV, penagih dadah," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Adnan berkata, meskipun tindakan tersebut kelihatan kejam namun ia terpaksa dilakukan untuk mendisplinkan masyarakat.

Katanya, NGO berkenaan juga perlu mencari lokasi lain luar dari pusat bandar sekiranya mahu memberikan makanan percuma.

Tengku Adnan berkata, DBKL juga menetapkan jarak 2km dari pusat bandar bagi NGO untuk memberikan makanan percuma.

"Kalau mereka nak bagi makan jangan bagi makan dalam bandar paling kurang 2km dari pusat membeli belah Lot 10," katanya. – 3 Julai, 2014.

0 comments:

Post a Comment